Al-Quran adalah silibus yang diturunkan ALLAH sebagai panduan kepada manusia mencari jalan pulang ke tanah air kita, SYURGA. Kerana itu, Kalam ALLAH ini untuk difahami dan diamalkan bukan sekadar dibaca dan dilagukan.
Bagi memudahkan kefahaman al-Quran, ALLAH menggunakan pelbagai
kaedah antaranya menggunakan metafora atau perumpamaan. Terdapat pelbagai
perumpamaan yang ALLAH datangkan dalam al-Quran bagi membantu manusia
memahami kehendak ALLAH. Mengkaji perumpamaan-perumpamaan dalam
al-Quran, saya dapati ia banyak berkaitan isu-isu ghaib dan tauhid yang sukar
difahami oleh manusia. Lalu membandingkan isu-isu ini dengan benda atau
peristiwa yang biasa berlaku di sekeliling manusia memudahkan pemahaman
mereka.
Manusia dengan akal mereka yang lemah tidak dapat membayangkan berapa
banyak ALLAH melipatgandakan infak yang baik. Lalu ALLAH
mengumpamakannya seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan
setiap tangkai mempunyai seratus biji bijian. Manusia tidak dapat membuktikan
sifat sementara dunia ini dan kewujudan akhirat. Dan ALLAH menggambarkan
keindahan kehidupan dunia ini seperti kebun yang subur, tetapi kemudian
dimusnahkan dalam sekelip mata.
Membaca dan mengkaji semua metafora yang terdapat
dalam al-Quran, pembaca pasti mengubah pandangan
mereka mengenai dunia dan akhirat .