Demi mengahwini Hakim, Syafika sanggup dibuang ibunya. Mujurlah keluarga
mertua melayan dia dengan baik. Bersama Hakim, dia merasa erti bahagia yang
sebenar-benarnya. Namun jodoh mereka tidak panjang. Saat sedang mengecap
manisnya bulan madu, Hakim menemui ajalnya. Detik yang sepatutnya merakam
memori terindah, menjadi kenangan terpilu buat Syafika.
Pemergian mengejut Hakim sangat memberi kesan kepada Syafika. Terasa separuh
jiwanya ikut pergi bersama suami tercinta. Sukar sungguh untuk terima hakikat
bahawa Hakim sudah tiada. Tetapi dia sedar, itu adalah ujian buat dia. Sesukar
mana pun, hidup perlu diteruskan.
Saat menerima lamaran Hadi, hatinya berbelah bahagi. Antara cinta dan rindu
yang masih ada buat Hakim dan rasa kasih yang mula hadir untuk Hadi. Akhirnya
dia pilih untuk terima. Mudah-mudahan kehadiran lelaki itu akan mengisi ruang
kosong yang Hakim tinggalkan.
Baru hati nak belajar bahagia semula, sesuatu terjadi. Sesuatu yang menyebabkan
Syafika hilang percaya dan nekad untuk meninggalkan Hadi. Satu yang dia sedar,
Hadi tidak sama seperti Hakim dan mungkin sampai bila-bila pun ianya akan kekal
begitu.