Description
Isu bermazhab menjadi perdebatan hangat di Malaysia yang mengundang persepsi yang pelbagai daripada masyarakat. Melalui buku ini, penulis akan mengupas persoalan tersebut dengan melihat terlebih dahulu konsep bermazhab itu sendiri, hukum dan cara bermazhab dengan harapan dapat membetulkan kekeliruan di kalangan umat Islam tentang persoalan bermazhab.
Perbincangan dibahagikan kepada empat bahagian.
Bahagian pertama lebih berkisar tentang pendefinisian bermazhab untuk memberikan landskap yang jelas kepada para pembaca mengenai konsep bermazhab dan sejarah bagaimana timbulnya amalan bermazhab.
Bahagian kedua pula memberikan penumpuan kepada konsep serta kaedah pengamalan bermazhab dan bahagian-bahagiannya menurut pembahagian ulama usul al-fiqh.
Bahagian ketiga pula memberikan fokus kepada dua isu utama berkaitan pengamalan bermazhab iaitu hukum beriltizam hanya dengan satu mazhab, dan hukum mengambil pendapat yang mudah-mudah daripada pelbagai mazhab. Kedua-dua hukum ini merupakan persoalan yang lazim dikemukakan dalam isu bermazhab.
Bahagian keempat akan memberi tumpuan kepada isu yang paling kontroversi berkaitan persoalan bermazhab iaitu persoalan hukum perbuatan ‘TALFIQ’, iaitu beramal dengan pelbagai mazhab dalam sesuatu perkara, ataupun mengumpulkan pendapat pelbagai mazhab dalam satu perkara.
Semua perbincangan ini diharap akan dapat merungkai kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap isu talfiq ini.